Kasihan Sudah 54 Tahun Tidak Raya Di Kampung

Posted by Tomomi Mizusawa On Monday, August 20, 2012 0 comments


Selepas menyambut bulan ramadhan, sudah pasti kitatidak sabar-sabar untuk pulang beraya di kampung bersama ibu bapa serta sanak saudara yang lain. Namun hari raya bagi seorang ibu tua ini mungkin sudah tidak bermakna lagi apabila dikatakan sudah 54 tahun tidak beraya di kampung. Kisah ini seperti biasa kita dengar, namun kali ini lain pula versinya. Namun ibu ini hakikatnya mempunyai anak-anak, namun entah mengapa tidak mengajak beraya bersama. Ikuti kisah di bawah ini.

“Siapa tak teringin nak tinggal dan beraya dengan anak? Biarpun keadaan mak cik macam ini, hati mak cik masih kuat nak balik ke kampung,” rintih bekas pesakit kusta, Halus Samad, 72, yang ditempatkan di Kompleks Kediaman Dormitori, Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), di sini.

Tahun ini, sudah 54 tahun warga emas itu tidak beraya di kampung halamannya di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Meskipun penyakit itu tidak lagi berbahaya, tanggapan negatif masyarakat, termasuk enam anaknya, menyebabkan hajat ibu tua ini untuk beraya di kampung halaman untuk kali pertama sejak 1951 belum kesampaian.

Halus menjadi penghuni Pusat Kawalan Kusta, Pulau Jerejak, Pulau Pinang ketika berusia 11 tahun pada 1958 sebelum dipindahkan ke PKKN ketika umurnya 18 tahun.

“Sejak berumur 11 tahun, mak cik dimasukkan ke pusat ini. Dulu di Pulau Jerejak dan selepas Lembah Harapan dibuka, kami dipindahkan ke sini kerana pusat kusta di sana ditutup.

“Di sini, akhirnya mak cik berjumpa jodoh dengan pesakit lelaki pada 1960-an. Kami berkahwin dan dikurniakan enam anak. Alhamdulillah, walaupun mak cik dan arwah suami dijangkiti penyakit kusta, anak tidak mewarisinya.
“Mak cik dan suami terus tinggal di sini hinggalah dia meninggal dunia, beberapa tahun lalu. Sejak itu, mak cik keseorangan tanpa tempat bergantung,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Halus berkata, kini selepas anaknya membesar dan memiliki keluarga sendiri, mereka seperti mengabaikan dan membiarkannya di pusat itu.
“Anak tak sanggup jaga mak cik, sebab itu mak cik duduk sini. Mereka tidak mampu, biarlah mak cik di sini. Sekurang-kurangnya, ramai boleh jaga makan pakai mak cik.

“Bagaimanapun, sekali sekala mereka (anak) datang melawat. Walaupun tak lama dan tidak selalu, cukup untuk mak cik melepaskan rindu kepada anak dan cucu,” katanya.

Difahamkan, Halus mempunyai empat anak lelaki dan dua perempuan berusia lingkungan 30-an hingga 50 tahun. Bagaimanapun, lima daripada anaknya menetap di Pulau Pinang dan hanya seorang di Lembah Klang.

Menurut Halus, dia teringin pulang ke kampung halamannya dan menyambut Aidilfitri bersama anak dan saudara-mara, namun disebabkan anggota badannya cacat, ia menjadi beban kepada anak.

Rindu warga emas ini terhadap anaknya boleh difahami kerana setiap kali dia melahirkan zuriat, bayinya dihantar ke kampung untuk dijaga saudara-mara berikutan polisi PKKN ketika itu.

Ini untuk mengelakkan bayi dijangkiti kusta berikutan tiada penawar bagi penyakit itu pada zaman dulu.

“Sudah bertahun-tahun mak cik tidak balik ke kampung. Mak cik teringin dan rindu beraya dengan anak. Sebelum ini, di sinilah tempat mak cik beraya dan menyambut puasa.

“Begitupun, mak cik serahkan semuanya kepada anak. Kalau mereka datang jemput, mak cik ikutkan saja. Kalau tidak, mak cik beraya di sini dengan kawan.

“Mak cik tahu menjadi beban kepada anak. Lagipun, hidup bergantung kepada kerusi roda seperti sekarang membataskan pergerakan mak cik. Kalau tinggal dengan mereka, mesti susah untuk mereka uruskan mak cik,” katanya.

Halus berkata, kedua-dua tangannya dipotong 20 tahun lalu disebabkan bakteria kusta di dalam badannya merebak hingga ke anggota berkenaan.

“Kata doktor, mak cik lambat dapat rawatan. Sebab itu bakteria dalam badan melarat. Nak tak nak, kedua-dua tangan kena potong.

“Tak lama lepas itu, kaki pula jadi lemah dan mak cik tak boleh berjalan. Dulu masa sihat, mak cik boleh pergi ke mana saja walaupun anak tidak datang ambil.

“Sekarang hidup mak cik bergantung sepenuhnya pada ihsan kakitangan PKKN. Bagaimanapun, mak cik bersyukur walaupun kesihatan semakin hari semakin merosot, pekerja di sini tidak pernah abaikan mak cik. Setidak-tidaknya mak cik mempunyai mereka yang sanggup menjaga,” katanya.

Halus berkata, mungkin kerana anaknya tidak berkemampuan, tiada kerjaya bagus serta masing-masing ada masalah sendiri, dia rela berada di pusat itu.

“Mak cik tidak mahu susahkan mereka, lebih-lebih lagi masing-masing tidak berduit. Cukup sekadar datang menziarahi mak cik di sini jika ada masa terluang.

“Hati ibu mana yang tidak sedih bila berada dalam keadaan seperti ini. Mahu atau tak, mak cik perlu jaga diri sendiri dan doakan kebahagiaan anak.

“Aidilfitri ini, jika mereka ingat, mereka pasti menjemput saya pulang dan beraya dengan mereka. Jika tidak, biarlah mak cik di sini. Lagipun, mak cik sudah biasa beraya di sini,” katanya.


Lagi sedih Kasihan Sudah 54 Tahun Tidak Raya Di Kampung di sini

Semoga artikel Kasihan Sudah 54 Tahun Tidak Raya Di Kampung bermanfaat bagi Anda.

Jika artikel ini bermanfaat,bagikan kepada rekan melalui:

Post a Comment